Tuesday, January 11, 2011

Ada Solehah Dalam Dirimu



Ya, muslimahku. Percaya atau tidak, ada solehah dalam dirimu. Ada solehah dalam dirimu walaupun sedikit cuma. Kerana ianya fitrah. Fitrah atau lumrah, iaitu lumrah yang telah ditetapkan dan tidak boleh diubah. Sifat soleh dan solehah itu adalah fitrah yang dikurniakan Allah SWT untuk setiap hamba-hamba yang dikasihiNya. Fitrah yang suci bagaikan bayi yang baru lahir. Fitrah yang indah buat dirimu bernama wanita kerana dirimu sememangnya tercipta cukup indah. Sangat indah.

"Hadapkanlah wajahmu dengan lurus pada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

(Ar-Rum:30)

Sememangnya jauh di sudut hatimu terdetik bicara mahu menjadi seorang wanita solehah. Terdetik di hati murnimu mahu menjadi serikandi mulia di sisi Allah. Terdetik di hati sucimu mahu berubah ke arah kebaikan demi ummah. Untuk membalas cinta suci-Nya. Hatimu berasa kagum dan cemburu pada muslimah solehah di sekelilingmu yang terpelihara aurat dan akhlak mereka bak bidadari syurga. Sempurna, tiada cacat cela. Sungguh indah dirinya di matamu.

“Mengapa aku tidak menjadi seperti mereka? Mengapa? Apakah yang aku tunggu? Apakah yang aku takutkan dan risaukan? Apa? Sebenarnya apa? Kerana aku terlalu hina berbanding mereka. Kerana aku menggunung dosa dan khilaf. Aku berasa tidak layak menjadi seperti mereka. Tidak layak berdampingan di sisi mereka. Aku berasa diriku terlalu rendah. Tuhan pasti tidak mahu memandang diriku yang hina ini. Tuhan pasti tidak mahu menerimaku lagi. Aku juga takut orang lain tidak bisa menerima perubahanku.”

Muslimahku, andai itu yang terbuku dalam fikiranmu, andai itu yang menghalangmu dari berubah menjadi seorang muslimah sejati, maka dirimu telah silap. Silap dengan menganggap Allah tidak mahu memandangmu dan menerimamu. Buktinya, nah, lihat saja dirimu. Masih mampu bernafas. Masih mampu membaca bait-bait ayatku ini. Masih saja mampu melihat dengan matamu. Masih saja merasa degup jantungmu. Muslimahku, bukankah Allah yang membenarkan dirimu masih hidup saat ini? Bukankah Dia masih memberimu nikmat yang tidak terkira banyaknya ini? Bukankah dia masih memberi kasih dan sayang kedua ibubapa padamu? Bukankah dirimu masih bebas meneruskan kehidupan seharianmu seperti insan lain? Bukankah itu tandanya Dia masih mengasihimu dan menyayangimu meski dirimu telah banyak meninggalkanNya, melupaiNya, mengkhianatiNya, dan mengingkariNya?

Katakanlah : "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Az-Zumar : 53)

Sesungguhnya, dirimu adalah Al-Mumtahanah. Iaitu wanita yang diuji. Jangan jadikan sirah kelammu sebagai penghalang titik perubahanmu. Ayuh, muslimahku! Sambutlah tanganku dan tangan-tangan mujahidah di sekelilingmu. Tangan-tangan yang senantiasa bersedia untuk membantumu. Sungguh, inilah tandanya Allah mengasihimu. Dia tidak mahu hambaNya terus alpa dengan fatamorgana dunia dan lupa padaNya. Aku pinta duhai serikandi agamaku, janganlah menafikan suara yang berbisik jauh di sudut hatimu. Suara-suara hatimu untuk berubah menjadi lebih baik, menjadi lebih mulia dan sempurna di mata Allah. Dengarkanlah suara fitrahmu, dan ikutilah ia. Penuhilah hasrat hatimu yang suci lagi murni itu. Dan dirimu akan merasa bahagia dan tenang dalam nur kasihNya. Lihatlah kasih dan rahmat Allah padamu dan bersyukurlah, muslimahku. Bersyukurlah masih diberi kesempatan untuk kembali dalam pencarian cintaNya. Bersyukurlah masih diberi taufiq dan hidayah untuk kembali dalam pangkuanNya. Bersyukurlah masih diberi peluang untuk meneruskan perjuanganmu di dunia yang sementara ini. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ibnu Mas’ud berkata: Allah S.W.T bertanya:

"Wahai hambaKu, mengapa kamu berputus asa dari rahmatKu? Bukankah Aku yang menciptakanmu dan yang memberimu keamanan? Kenapa kamu bersikap bodoh kepadaKu, seakan-akan kamu tidak mengenalKu, dan berpaling dariKu seakan-akan kamu tidak setuju denganKu. Wahai hambaKu, jika kamu menjauhiKu maka Aku menjauhimu. Jika kamu bertaubat kepadaKu, maka Aku terima taubatmu. Jika kamu bermaksud kepadaKu, maka Aku bermaksud mendekatkanmu. Jika kamu bingung jalanmu, maka Aku tunjukkan jalanmu. Jika kamu tidak memperhatikan dirimu kerana cinta kepadaKu, maka Aku yang mengurusi urusanmu. Jika kamu menangis kerana sulitnya mengubati dirimu, maka Aku ubati kamu. Jika kamu menangis kerana penyakitmu, maka Aku sembuhkan kamu. Jika kamu menangis kerana gelisah, maka Aku datangi kamu. Jika kamu menangis kerana takut, maka Aku amankan kamu. Dan jika kamu menangis kerana sedih kehilangan hak kamu, maka Aku ganti hakmu (yang hilang). Janganlah kamu putus asa dari rahmatKu. Apakah kamu melihat orang yang memutus hubungan denganKu itu menjadi hina? Apakah kamu melihat orang yang menjauhiKu itu menjadi sakit? Apakah kamu melihat orang yang mencium bau harum dari taman dekat denganKu menjadi kurus? Apakah kamu pernah melihat orang yang mengetahui tanda-tanda pertolonganKu menjadi terbelenggu? Dan apakah kamu pernah melihat orang yang menemui manisnya zikir kepadaKu menjadi meninggalkanku dengan diam-diam? Seakan-akan Allah s.w.t. berkata: Wahai hambaKu, janganlah kamu putus asa, kerana sesungguhnya kamu apabila suka berkhianat, maka Aku terkenal dengan yang maha Pemurah. Yang mempunyai pemberian. Apabila kamu mempunyai tabiat yang kasar, maka Akulah yang suka menepati janji. Apabila kamu yang mempunyai kejahatan, maka Akulah yang mempunyai kesabaran. Apabila kamu mempunyai kelalaian, maka Akulah yang mempunyai ampunan dan rahmat. Apabila kamu mempunyai ketakutan tidak diterima doa, maka Akulah yang mengkabulkan doamu. Maka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Dzat yang murah dengan ampunanNya terhadap tukang-tukang sihir yang ramah dan menjadikan mereka termasuk golongan orang-orang yang baik."

Muslimahku, marilah... Marilah bersamaku. Capailah tanganku. Kita kejar gelaran bidadari syurga khas buat wanita solehah yang dijanjikan Allah. Dan Dialah yang tidak pernah mengingkari janji. Mengejar cinta suciNya. Mengertilah dan percayalah, tiada yang lebih mengasihimu daripada Allah SWT. Balaslah cintaNya yang sungguh suci padamu. Balaslah ia dengan mengabdikan dirimu dan perjuanganmu pada agamaNya. Tutup matamu dan dengarkanlah Allah memanggilmu untuk kembali dalam naungan rahmatNya. Tabahlah, muslimahku! Kuatkanlah langkahan kakimu! Biarkan sahaja andai ada suara-suara dan mata-mata sumbang yang dengki padamu! Itu semua hanyalah hasutan syaitan semata! Ingatlah muslimahku, biarlah dirimu tidak sempurna di mata manusia, asalkan dirimu cukup sempurna sebagai bidadari di sisiNya, Ar-Rahman.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

(Al-Baqarah:186)

Muslimahku yang dikasihi, bait-bait ayat ini istimewa buat dirimu yang bergelar muslimah mukminah… Mulia kerana iman dan taqwa. Hayatilah… Akuilah ada solehah dalam dirimu, dan semarakkanlah ia kerana Allah Ta’ala semata. Muslimahku, sungguh, aku mengasihimu kerana Allah Ta’ala. Moga Allah merahmatimu, muslimah sejatiku, bunga agamaku, serikandi mukminahku, mujahidah ummahku…

Kau digelar sebagai penyeri dunia

Hadirmu melengkap hubungan manusia

Bukan sahaja dirindui yang biasa

Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa


Akalmu senipis bilahan rambut

Tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu

Jua hatimu bak kaca yang rapuh

Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh


Tercipta engkau dari rusuk lelaki

Bukan dari kaki untuk dialasi

Bukan dari kepala untuk dijunjung

Tapi dekat dibahu untuk dilindung

Dekat jua di hati untuk dikasihi


Engkaulah wanita hiasan duniawi


Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok

Jika datangnya dari kayu yang bengkok

Begitulah peribadi yang dibentuk


Didiklah wanita dengan keimanan

Bukannya harta ataupun pujian

Kelak tidak derita berharap pada yang binasa


Engkaulah wanita istimewa


Sedarilah insan istimewa

Bahawa kelembutan bukan kelemahan

Bukan jua penghinaan dari Tuhan

Bahkan sebagai hiasan kecantikan


-Wanita oleh De Hearty