Ya Allah, aku lapar!
Kau suapkan aku dengan makanan.
Ya Allah, aku kotor!
Kau bersihkan aku dengan air yang suci.
Ya Allah, aku letih!
Kau rehatkan aku dengan tidur yang lena.
Ya Allah, aku sedih!
Kau melegakan ku dengan mengusap air mata yang mengalir.
Ya Allah, aku punya masalah!
Kau tunjukkan aku jalan keluar yang benar.
Ya Allah, aku takut!
Kau lindungi aku dengan rahmat-Mu.
Ya Allah, hatiku resah gelisah!
Kau tenangkan aku dengan ayat-ayat cinta-Mu.
Ya Allah, aku tidak tahu!
Kau ajarkan aku dengan setitik ilmu milik-Mu.
Ya Allah, aku punya hajat!
Malah Kau ajarkan aku untuk sentiasa memohon apa sahaja kepada-Mu.
Ya Allah, aku tidak punya harta!
Namun Kau masih kurniakan rezeki cukup untukku.
Ya Allah, aku telah berdosa!
Namun Kau masih mahu mengampuniku.
Ya Allah, aku telah melupai-Mu!
Namun Kau masih sentiasa ingat padaku dengan nikmat nafas ini.
Ya Allah, aku sakit!
Kau sembuhkan aku dengan rahmat kasih sayang-Mu.
Ya Allah, aku pernah mengkhianati cinta-Mu padaku,
Namun Kau masih sudi menerimaku yang hina ini kembali.
Kau masih sudi mengutipku yang kotor dan tersesat dari redha-Mu ini kembali.
"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?"
-Ar-Rahman
Allah, aku tidak punya sesiapa lagi di dunia ini melainkan Kau, Ya Allah.
Hanya Kau yang sudi mengampuni walau dosa-dosaku menggunung tinggi.
Hanya Kau yang sudi melupakan segala dosa-dosaku yang seluas langit dan bumi saat aku datang pada-Mu.
Hanya Kau yang sudi mengeluarkan aku dalam kegelapan dan menarik ku kembali dalam cahaya.
Malah Kau ajarkan aku doa-doa untuk ku panjatkan hanya pada-Mu.
Ya Allah, setulusnya aku mohon,
Maafkanlah aku yang seringkali lupa
Maafkanlah aku yang seringkali alpa
Maafkanlah aku yang seringkali sesat
Maafkanlah aku yang seringkali dibuai keindahan dunia
Sehingga aku lupa, adanya akhirat sana yang menanti
Sehingga aku lupa, adanya syurga dan neraka
Sehingga aku lupa, adanya pertemuan yang dijanjikan dengan-Mu
Sehingga aku lupa, kehidupan di sana jualah yang kekal abadi
Maafkanlah aku kerana baru aku sedari bahawa segala lagu-lagu cinta yang terlafaz dan terdengar oleh manusia adalah ilham daripada-Mu
Rupa-rupanya selama ini, lagu-lagu itu Kau cipta dan tujukan khas buat hamba-Mu yang sungguh Kau kasihi
Allah, baru ku tersedar
Maafkanlah hamba-Mu ini
Kini, Ya Allah, izinkanlah aku membalas cinta-Mu itu dengan sepenuh hati dan jiwaku
Biarlah Kau menjadi penglihatanku yang ku gunakan untuk melihat,
menjadi pendengaranku yang ku gunakan untuk mendengar,
menjadi tanganku yang ku gunakan untuk memegang,
dan menjadi kakiku yang ku gunakan untuk melangkah,
ke arah redha-Mu dan hanya kerana-Mu semata-mata.
Berikanlah aku kekuatan untuk terus membuktikan cintaku pada-Mu,
Agar kelak, saat ku bertemu dengan-Mu,
bisa ku buktikan cintaku dengan perjuanganku yang ternyata tidak seberapa,
Sungguh tanpa-Mu, aku tidak berdaya, tidak punya apa-apa.
Allah, Allah, Allah, ampunkanlah aku,
dan jadilah segala-galanya bagiku.
"Dan Dia memberikan kepadamu (keperluanmu) daripada segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah"
-Ibrahim:34
No comments:
Post a Comment